Wednesday, August 26, 2009

semangat kemerdekaan




merdeka!!!
merdekakah kita semua???
sejauhmanakah yang kita faham tentang erti kemerdekaan?
pada pandangan saya, maksud merdeka itu ialah kita bebas dari pengaruh luar,bebas dari jajahan dan berubah dari sikap negatif ke sikap positif.

saya bukan taksub untuk mengajak bersama-sama untuk melaungkan kemerdekaan dan menyambutnya secara membabi buta. Tetapi bukankan elok untuk dijadikan teladan untuk generasi akan datang!? Sudah terang lagi disuluh, ada segelintir generasi muda tidak sehebat generasi sebelum ini yang bersemangat patriotik apabila menjelang bulan kemerdekaan.

Kalau perkara ini sudah menjadi isu pada pemandu-pemandi teksi yang sedang lepak menunggu penumpang dan juga dikedai-kedai kopi, bukankah ianya boleh dijadikan isu. Rata-rata bersembang mengenai generasi kini yang tidak menghayati sejarah kemerdekaan negara yang telah diusahakan datok moyang kita.

Sekurang-kurangnya bagi saya, sambutlah ala kadar untuk mengajak generasi muda bersama-sama menghayati supaya ianya tidak pupus kegemilangan dan memori negara kita menyambut kemerdekaan.


iklan merdeka




Mengekalkan dan mengisi kemerdekaan

“Setiap dari kita mesti tekadkan dalam diri untuk mencapai 3 jenis kejayaan. Ini keperluan setiap warganegara yang patriotik dalam konteks kehidupan hari ini” saya mula 'berceloteh'.

Pertama, kejayaan dalam BERKELUARGA. Kedua, kejayaan dalam KERJAYA dan ketiga adalah kejayaan dalam BERSOSIAL.

Kena betulkan mind set, jangan ingat sumbangan kita kepada negara hanya kerana kejayaan kita dalam kerjaya. Ini yang ramai orang silap. Tanpa disedari, pengabaian kita kepada keluarga dan bersosial atas alasan kerjaya telah banyak merosakkan negara dan masyarakat.

Mengikut fakta semasa, banyak orang berjaya dalam kerjaya dan memegang jawatan pengarah atau CEO atau apa pun jawatan berstatus bos atau big bos kecundang dalam keluarga. Kalau untuk bersosial pun, hanya sekadar ‘secukup rasa’ kerana ada ‘udang sebalik mee’. Itu realiti yang mesti ditelan atau tidak mahu kemamlah dalam mulut. Usah luahkan keluar mulut kerana ia penanda kita tidak mampu menjejak bumi realiti.

Ini bukan cerita di negara orang putih. Bukan juga cerita kartun Disneyland atau filem Bollywood. Ia adalah cerita orang kita, kisah benar kehidupan warganegara dan anak Malaysia!

Anak jadi ‘hantu raya’, mat rempit, mat pit, sotong, bohsia, bohjan, mangkuk hayun, mangkuk tingkat, sudu, garpu dan segala gelaran negatif, belaian kasih sayang kepada isteri/suami dan anak-anak dipandang enteng dan sepi, keluarga terabai dan terabur, tidak terurus akhirnya masing-masing menjadi produk gagal. Mereka inilah elemen dan aset negara. Kerana modal insan ini tidak diurus dengan baik, negara tidak dapat dibantu, malah mereka ini menjadi 'produk gagal' ini pula yang menjadi beban pada negara. Ini kesan mudarat kejayaan dalam berkeluarga diketepikan. Oleh itu, pastikan anda berusaha untuk berjaya dalam berkeluarga.

Jangan ketepikan juga kejayaan dalam bersosial. Yang terdekat adalah jiran tetangga atau kariah semasjid atau rakan sekerja atau roomate ataupun housemate atau orang setaman perumahan atau orang sekampung atau rumah kebajikan atau apa sahaja yang berkait dengan hal sosial. Bantu-membantu, tegur-menegur, sumbang-menyumbang, nasihat-menasihati dan dakwah-mendakwah adalah elemen asasnya. Janganlah jadi katak dalam tempurung atau ‘orang dalam rumah’ yang hanya kenal tempat tidur dan tempat kerja sahaja !!!.

Kejayaan dalam bersosial membina kekuatan individu dan masyarakat. Amat malang bagi negara jika warganegaranya tidak boleh ‘bercakap dalam bahasa yang sama', hanya pandai bercakaran. Untuk bertanya khabar pun sukar, apatah lagi hendak membantu. Kadang-kala nampak, tetapi pura-pura tidak perasan.

Maka masing-masing membuat hal sendiri. Bukan sahaja tidak mampu menegur anak jiran yang mencuri buah atau telanjang di jalanan, hendak tolong angkatkan baju jiran ketika hujan menjadi perkara pelik pada hari ini.

Kalau nak cerita kejayaan dalam kerjaya, lagi panjang hal dan kisahnya. Memang ramai bersungguh dalam kerjaya, tetapi masih ramai yang sebaliknya. Usah bicara hal besar-besar, untuk mematuhi waktu kerja pun sudah hampir pecah kepala untuk difikirkan.

Patriotik

Tidaklah saya memperkecilkan atau memperlekehkan kibaran jalur gemilang. Saya amat menyanjung dan menghormati tabiat dan sikap itu. Saya sendiri pun menggantung Jalur Gemilang di hadapan rumah saya untuk mencipta 'demam' buat kami dan jiran-jiran.

Tetapi bagi saya, ia bukan kayu ukuran yang sebenar dalam menilai tahap semangat patriotik kita. Saya amat tidak setuju jika kita hanya dikatakan patriotik jika mengibar jalur gemilang....satu telahan yang silap bagi saya.

Apa guna menggantung penuh semua jenis bendera pada kereta, selepas itu hendak sembahyang fardhu pun malas. Apa guna melaungkan Lagu Negaraku, tetapi dalam masa yang sama membuang tisu di jalanan. Apa guna sibuk menyertai peraduan merdeka (kalau ada), tetapi selalu mencuri waktu bekerja.

Siapa berani menjamin 100% kita telah bebas dari semua ini? Saya yakin tiada sesiapa. Ini tandanya minda kita masih belum merdeka, walaupun lidah kita boleh berkata sebaliknya.

Meraikan Kemerdekaan Negara

Apa yang saya harapkan, kibaran bendera, nyanian lagu patriotik, konvoi merdeka, peraduan atau kuiz merdeka itu dan ini, kawad merdeka, perhimpunan merdeka atau apa pun acara, perkara atau aktiviti berkaitan merdeka bukanlah sekadar rutin. Kalau tidak dibuat, dikata tidak patriotik pula.

Buatlah segalanya dari hati. Jika hati tidak bertindak, cari jalannya. Carilah ilmu dan kefahaman yang betul untuk menghidupkan hati yang mungkin telah mati. Itu peranan kita kerana hati kita adalah tetap hati kita dan ia bergantung pada diri kita juga.

Kita tidak mahu ditenangkan dengan berita palsu atau perbuatan pura-pura. Kita tidak sepatutnya ditipu oleh permainan yang kita cipta sendiri.

Apa pun yang dilakukan, biarlah kemas. Apa pun yang dikatakan biarlah berasas. Apa pun yang diniatkan, biarlah benar-benar ikhlas.

No comments:

Post a Comment